Monday, March 9, 2009

Pandangan Tentang Seks Bebas

Pada zaman modenisasi ini, perlakuan seks bebas merupakan sesuatu yang agak umum di kalangan masyarakat. Seks merupakan desakan reproduktif yang semula jadi bagi seseorang untuk memulakan satu keluarga dan juga tarikan seksual yang biasanya dikongsi di antara satu pasangan. Perlakuan seks bebas ialah pergaulan seks tanpa mengira pasangannya. Seks bebas merupakan aktiviti yang tidak sihat kerana ianya membawa banyak implikasi yang negatif. Persoalannya, apakah yang mendorong orang ramai terjebak dalam perlakuan seks bebas ini?

Punca-punca seks bebas
Antara punca-punca utamanya ialah pengaruh budaya barat. Remaja pada zaman ini berpendapat bahawa budaya barat adalah lebih canggih dan lebih moden. Oleh itu, pengaruh budaya barat yang berfikiran terbuka merupakan dorongan kepada remaja hari ini untuk menjalin hubungan seks bebas. Perasaan bangga terhadap kelakuan tidak bermoral ini menyebabkan mereka terbawa-bawa dengan budaya barat sehingga melupakan diri dan didikan agama.

Selain itu, dorongan dalaman dalam jiwa seseorang juga merupakan faktor yang menyumbang kepada gejala keruntuhan akhlak ini. Bagi seorang remaja yang normal, dia akan mempunyai tarikan seksual terhadap jantina yang bertentangan dan akan terdorong untuk menjalinkan hubungan seks.

Berdasarkan Berita Harian, laman web lucah yang mudah dilayari turut menyebabkan pergaulan seks bebas meluas di hari ini. Kadar laman web lucah yang serendah 15 sen sehari ini menggalakkan ramai remaja terjerumus dalam dunia lucah yang kemudian hari menyebabkan peningkatan seks bebas. Menurut Suruhanjaya dan Multimedia Malaysia, daripada 25 laman web lucah yang terkemuka, hanya 2 yang dapat disekat. Hal ini juga jelas menunjukkan bahawa pencipta web laman lucah ini semakin berleluasa.

Contoh kes seks bebas
Salah satu daripada kes-kes akibat perlakuan seks bebas adalah seperti kejadian yang berlaku di England kebelakangan ini, seorang gadis yang bernama Chantelle, berumur 15 tahun telah didapati mengandungkan anak seorang remaja, Alfie yang berumur 13 tahun. Hal ini agak menggemparkan kerana mengikut statistic di England, Alfie merupakan ayah yang paling muda in Britain. Apabila ditanya oleh media, “Apakah yang menjadi sumber kewangan bagi anda menampung keluarga ini?” Alfie dengan sambil lewanya menjawab, “Apakah itu kewangan?” Dari hal ini, bolehlah kita perihalkan betapa naifnya remaja kini dan bagaimana mereka mentafsir kepentingan masa hadapan mereka. Mereka membuat perkara dengan terburu-buru tanpa mengira betapa berat beban yang akan dipikul kemudian hari. Selain itu, hal ini juga amat mengejutkan kerana selepas bayi tersebut dilahirkan, muncul lagi beberapa remaja yang berumur dari 13 tahum sehingga 16 tahun yang mengakui diri masing-masing sebagai ayah kepada anak yang baru dilahirlan. Ada yang mengaku mereka pernah menjalinkan hubungan seks dengan Chantelle setahun sebelum anak tersebut dilahirkan, sesetengah pula bersuara yang mereka adalah ayah kepada anak tersebut tetapi mereka berharap hal itu tidak benar kerana mereka tidak mahukan anak pada usia yang muda ini. Hal ini dijadikan topic perbualan orang ramai dan demi mencari kepastian, bayi tersebut akan dibawa untuk menjalankan ujian DNA untuk mengesahkan ayah kandungnya. Hal ini mudah menjelaskan seks bebas di antara remaja bukan sahaja menyebabkan hadapan mereka musnah dalam sekelip mata, maka juga menjadi buah mulut orang ramai serta menjatuhkan maruah diri dan keluarga masing-masing.

Pengguguran dan pembuangan bayi
Perlakuan seks bebas akan menyumbang kepada pengguguran dan pembuangan bayi. Pengguguran ialah pembuangan embrio atau janin dari rahim yang bertujuan untuk menghapuskannya. Pengguguran, pada zaman atom ini, merupakan satu cara pintas untuk menyelesaikan masalah selepas keseronokan. Remaja kini yang berfikiran tidak matang dan tidak berpandangan jauh tidak mempedulikan akibat yang perlu ditanggung atas perbuatan diri sendiri. Mereka hanya pentingkan keghairahan seketika tanpa memikirkan tanggungjawab yang perlu dipikul. Mereka berpengetahuan cetek dalam seksualiti dan cara pencegahan kehamilan. Oleh itu, mereka tidak mengambil langkah pencegahan kehamilan maka berlakulah kehamilan yang tidak diduga. Apabila hal sedemikian berlaku, mereka berasa takut untuk memikul tanggungjawab yang berat, berasa malu atas perbuatannya dan bimbang reputasi diri tercemar sehingga mengakibatkan mereka sanggup mengambil keputusan untuk menggugurkan kandungan mereka atau membuang bayi mereka.

Contoh kes pembuangan bayi
Pada masa ini terdapat kira-kira 40 peratus kehamilan tidak dikehendaki berlaku setiap tahun yang mana daripada jumlah ini 60 peratus akan digugurkan sama ada secara haram ataupun tidak. Pengguguran juga dilakukan untuk pemilihan jantina yang mana sekiranya janin yang dikandung bukan jantina yang dikehendaki, janin ini akan dibuang atau digugurkan. Biasanya, pengguguran haram banyak dilaporkan dilakukan oleh golongan remaja atau wanita yang hamil akibat melakukan hubungan haram. Pada tahun 2005, seorang bayi dijumpai berada di dalam beg di tapak pesta ria di Muar. Bayi tersebut ditemui oleh seorang pemandu lori yang berada dalam perjalanan menghantar barang di sebuah kilang berhampiran. Pemandu lori tersebut berkata bahawa dia berasa terkejut apabila beg yang dikutip itu, disangkanya wang tunai bergoyang. Apabila dia membuka zip beg itu, dia terperanjat kerana di dalam beg itu terdapat seorang bayi yang masih bernafas. Dia kemudiannya menghantar bayi tersebut ke hospital berdekatan. Bayi tersebut dikatakan baru dilahirkan berdasarkan tali pusatnya yang belum di potong.

Kesan-kesan seks bebas, pengguguran dan pembuangan bayi
Berdasarkan isu-isu semasa yang dibincangkan, jelaslah perlakuan seks bebas semakin menular di kalangan masyarakat terutamanya di kalangan remaja yang tidak berfikiran matang. Perlakuan seks bebas membawa banyak impak negatif. Antara kesan-kesan yang jelas kelihatan adalah peningkatan kes pengguguran dan pembuangan bayi. Pengguguran menyebabkan kesihatan wanita tersebut terjejas dan peluang untuk dijangkiti penyakit akan meningkat. Mereka berkemungkinan besar akan menghadapi masalah-masalah seperti kemandulan, jangkitan pada organ pembiakan dan kematian. Selain masalah-masalah fizikal yang telah dibincangkan, pengguguran juga akan mengakibatkan gangguan emosi dan mental seperti kemurungan, perasaan rasa bersalah, resah gelisah dan hilang keyakinan diri. Untuk kes pembuangan bayi, implikasinya jauh lebih serius berbanding dengan pengguguran. Hal ini disebabkan akan menjejaskan bukan sahaja individu tersebut malah lapisan masyarakat. Individual tersebut akan mengalami gangguan mental dan emosi tidak tenteram serta rasa bersalah. Lebih-lebih lagi, individu yang membuat perancangan untuk membuang bayinya tidak akan meminta bantuan perubatan dari doktor. Hal ini menyebabkan individu tersebut berkemungkinan kehilangan darah, jangkitan kuman dan kecederaan semasa bersalin. Tambahan pula, kadar kematian bayi akan meningkat kerana tidak mendapat jagaan perubatan yang rapi dan sempurna. Bayi yang dibuang akan mengalami masalah mental dan bersikap ekstrem jika tidak diberi tumpuan dan kasih sayang yang secukupnya. Masalah ini akan bertambah serius apabila mereka melangkah ke dunia dewasa. Sikap mereka yang ekstrem akan mendorong mereka ke arah penjenayahan.

Egoisme
Perlakuan seks bebas remaja yang mengakibatkan peningkatan kes-kes penguguran dan pembuangan bayi merupakan sesuatu yang tidak bersalah dari segi perspektif Egoisme yang diasaskan oleh Friedrich Wilhelm Nietche. Teori Eogisme yang menjadi penentang teori Kemoralan Sosial tidak menimbangkan peninggalan kesan-kesan buruk terhadap pihak kedua ataupun pihak ketiga selepas melakukan perbuatan tersebut. Dalam prinsip Egoisme, remaja boleh mementingkan diri sendiri iaitu mencapai keselesaan hidup dalam kelakuan seks bebas. Manakala penguguran bayi dan pembuangan bayi merupakan sesuatu kebaikan iaitu perbuatan melepaskan beban mereka yang akan dihadapi selepas berlaku seks.

Perbuatan yang dikatakan baik iaitu menikmati kepuasan hidup mereka melalui berlakunya seks dan menghapuskan kandungan mereka yang mendatangkan masalah pada masa depan. Samanya, perbuatan yang dikatakan buruk iaitu menahan nafsu sendiri walaupun berkeinginan ataupun menyimpan kandungan mereka walaupun mereka tidak berkemampuan. Dengan kata lain, perbuatan yang memwujudkan kemanfaatan dan mengelakkan kerugian terhadap diri sendiri mereka adalah baik. Peraturan masyarakat ataupun peraturan yang ditetapkan agama tidak dapat menghadkan kebebasan remaja. Remaja harus menentukan peraturan sendiri dan dikatakan maju. Dalam kehidupan mereka, pengorbanan tidak diperlukan semasa mengeksploitasi apa sahaja untuk hidup selamt. Dengan ini, hidup remaja akan menjadi menarik tanpa menimbangkan konsep ketuhanan dan agama. Teori Egoisme mengatakan remaja itu ketua kepada badannya sendiri.

Eksitensialisme
Dari sudut Teori Eksistensialisme di mana manusia dipandang sebagai suatu makluk bereksistensi yang mengkaji situasi sekeliling dengan kesadaran tersendiri, isu tersebut merupakan sesuatu yang wajar. Tindakan seks merupakan keinginan remaja mencapai kepuasan hidup. Kelakuan penguguran dan pembuangan bayi juga merupakan satu cara untuk meneruskan hidup remaja yang tidak berkemampuan. Dengan adanya situasi yang menjadikan pihak pertama mengalami masalah, cara yang terbaik adalah mengurangkan tekanan secara menghapuskan kandungan mereka. Remaja berhak melihat cara manusia sekeliling berada. Pilihan wajar yang mengelakkan masalah muktlak diutamakan. Seseorang remaja itu bertanggungjawab memilih cara penyelesaian masalah kerana mengetahui cara menempatkan dirinya.

Peraturan dan hukum agama tidak boleh menjadi halangan kebebasan pilihan remaja sekira pilihan itu pilihan remaja sendiri. Perbuatan seperti yang berada pada isu tersebut dikatakan bermoral sekira waktu itu adalah sesuai di mana ia tidak menyusahkan remaja. Teori Eksitensialisme mengatakan remaja itu ketua kepada pilihannya sendiri di mana pilihannya haruslah berdasarkan situasi mereka sendiri dan moral itu ditetapkan sendiri.

Islam
Fenomena seks bebas remaja iaitu hubungan seks tanpa ikatan nikah yang sah kini menjadi isu serius yang melanda di mana-mana Negara termasuklah Negara kita. Walaupun kesan terhadap perbuatan tidak bermoral ini diketahui orang ramai, akan tetapi berita berkaitan isu ini jelas terpapar di dada akhbar hampir setiap hari. Persoalannya, adakan punca kepada gejala ini berkaitan dengan kurangnya didikan agama di kalangan pemimpim masa depan negara kita?

Dalam konteks agama islam, perbuatan seks bebas adalah diharamkan. Menurut ajaran agama islam, salah satu asas utama agama Islam ialah Akhlak yang bermaksud tingkahlaku. Akhlak yang baik akan lahir apabila kita melakukan sesuatu perbuatan seolah-olah Allah melihat dan mengawasi setiap perbuatan. Maka, akhlak yang baik mestilah dipupuk dan dipelihara oleh setiap insan. Salah satu ciri akhlak seorang muslim ialah mencontohi akhlak yang baik dan meninggalkan akhlak yang tercela atau keji. Oleh sebab itu, perbuatan seks bebas jelas bertentangan dengan ajaran islam yang berpegang teguh kepada akhlak yang baik.
Selain daripada itu, Islam mementingkan 5 perkara yang perlu dijaga iaitu harta, Maruah, Akal, Nyawa dan Agama. Dalam konteks ini, perbuatan seks bebas adalah bercanggah dengan salah satu perkara tersebut iaitu maruah manakala pengguguran boleh dikaitkan dengan nyawa iaitu pemgambilan nyawa janin yang secara langsungnya bermaksud pembunuhan. Oleh sebab yang demikian juga, sesiapa yang tidak menjaga 5 perkara tersebut adalah dianggap berdosa besar dan mesti segera bertaubat. Dalam isu yang dibincangkan ini,salah satu punca kepada berlakunya gejala sosial ini mungkin bersangkut paut dengan kegagalan golongan remaja dalam mengawal hawa nafsu dan godaaan. Maka, dalam ajaran Islam, bagi mereka yang tidak dapat menahan keinginan, Islam menggalakkan umatnya menggunakan saluran lain seperti berkahwin atau berpuasa. Hubungan seks bebas tanpa perlindungan membawa kepada peningkatan risiko pengguguran di kalangan remaja yang masih mentah dan juga kes pembuangan bayi.
Pengguguran mengakibatkan kematian janin.Janin di dalam kandungan terbentuk dalam beberapa peringkat yang dikenali sebagai nutfah , alaqah , dan mudhghah. Peringkat terakhir ialah selepas berumur 121 hari iaitu sesudah ditiup roh insaniah ke dalamnya. Pada dasarnya, agama islam menyatakan pengguguran anak dalam kandungan adalah haram dan berdosa besar kerana pengguguran dianggap satu jenayah bunuh ke atas janin yang telah ditiupkan roh iaitu sebagai makhluk bernyawa. Malahan anak dalam kandungan adalah tidak berdosa. Walaubagaimanapun, pengguguran adalah dibenarkan pada pandangan agama Islam dalam keadaan tertentu. Contohnya untuk menyelamatkan nyawa ibu atas sebab-sebab kecacatan yang bersangatan.

Selain pengguguran, hubungan seks bebas remaja juga membawa kepada peningkatan kes pembuangan bayi. Perbuatan biasanya melibatkan golongan remaja yang bertindak terburu-buru mengambil tindakan demi kepentingan sendiri. Gejala ini bukanlah sesuatu yang baru dalam sejarah kemanusian manusia. Pada zaman jahiliah iaitu zaman kegelapan , gejala ini menjadi sebahagian daripada nilai masyarakat jahiliah. Mereka bukan sahaja membuang bayi perempuan, malah sanggup menanam anak perempuan mereka hidup-hidup demi menjaga maruah peribadi dan keluarga sendiri. Maka timbul isu-isu yang diperbincangkan, mengapakah remaja kita sanggup bertindak sedemikian seolah-olah manusia dalam masyrakat jahiliah yang tidak berperikemanusian? Perbuatan ini dianggap jahil pada pandangan Islam iaitu tidak mematuhi 5 perkara yang perlu dijaga. Justeru itu, jelasnya hal ini berlaku lantaran remaja kita tidak mempunyai pegangan agama yang tebal dan mudah dipengaruhi oleh desakan seksual mereka itu.

Buddha
Bagi agama Buddha, perlakuan seks bebas iaitu segala hubungan antara lelaki dan perempuan yang tidak diakui oleh undang-undang negara dan kemoralan sosial, kecuali hubuangan isteri suami adalah perbuatan yang tidak dibenarkan. Peraturan ini dipercayai dapat membawa kebaikan dalam kehidupan bermasyarakat dan amat menbantu dalam budidaya sendiri.
Mengikuti konsep Karma, perbuatan yang baik akan membawa kesan baik manakala perbuatan yang jahat akan membawa padah. Jika hendak mendapat karma yang baik, maka perlulah mematuhi lima rukun moral agama Buddha (Panca Sila) iaitu jangan membunuh, jangan mencuri, jangan berzina, jangan berbohong, dan jangan mengambil dadah atau arak yang boleh mengelirukan akal. Sebenarnya perlakuan seks dengan sesiapa yang bukan isteri atau suami juga tidak dibenarkan kerana ianya bersamaan dengan perbuatan berzina. Penganut agama Buddha mempercayai patuh kepada rukun ‘jangan berzina’ akan membawa keteteramann minda dan menjernihkan hati, jika selalu mematuhi rukun ini akan mendapat bodhi (bodhi adalah bahasa Pāli dan bahasa Sanskrit, ia bermaksud kefahaman, kebijiaksanaan dan jalan yang betul dan benar) yang benar dan akhirnya individu tersebut tiada hubungan lagi dengan dunia ini dan mencapai nirvana.

Terdapat juga empat kebenaran mulia dalam ajaran Buddha, iaitu Dukkha (penderitaan), Dukkha-Samudaya (punca penderitaan), Dukkha-Nirodha (menyingkirkan penderitaan) dan Dukkha-Nirodha Marga (jalan untuk menghapuskan penderitaan). Antaranya Dukkha-Samudaya bermaksud punca penderitaan adalah keinginan dan nafsu yang kuat. Keinginan dan nafsu ini akan didorong oleh kejahilan. Nafsu adalah salah satu punca penderitaan manusia untuk memperolehi kekayaan dan keseronokan yang tiada penghujungnya. Manakala Dukkha-Nirodha bermaksud apabila keinginan dan hawa nafsu dihapuskan maka penderitaan dapat diatasikan. Manusia haruslah menghapuskan atau mengatasi nafsunya untuk mengelakkan penderitaan. Perlakuan seks bebas adalah berpunca daripada hawa nafsu yang tidak terkawal, maka hendaklah mengatasi nafsu untuk berseks demi mengelakkan penderitaan seperti kesedihan pengguguran atau pembuangan bayi.

Pengguguran bayi ialah salah satu kesalahan yang serius dalam peraturan atau rukun agama Buddha, kerana salah satu nilai dari lima rukun moral agama Buddha (Panca Sila) ialah jangan membunuh, dan dalam agama Buddha, pengguguran adalah sama dengan membunuh, Hal ini disebabkan dosa menggugur bayi setimpal dengan dosa membunuh. Selain itu, pengguguran adalah salah satu dosa dalam 5 dosa yang paling berat, iaitu membunuh ibu bapa, membunuh arahat, menggugur bayi, membunuh sami, dan menhina atau merosakan patung Buddha. Dosa ini akan mengakibatkan mereka jatuh ke dalam neraka wu jian. Neraka ini dikelilingi dengan tembok besi yang setinggi 10 000 kilometer dan penuh dengan barak api yang sangat panas. Bagi sesiapa yang jatuh ke dalam neraka ini mereka akan mengalami derita yang paling berat dan tiada peluang untuk lahir ke dunia manusia atau dunia lain lagi.

Di samping itu, salah satu nilai dalam nilai moral agama Buddha ialah baik hati kepada semua makhluk iaitu menyayangi dan menghormati makhluk lain kerana semuanya juga mempunyai hak untuk hidup. Maka pengguguran juga bermaksud telah merampaskan hak bayi itu untuk lahir atau hidup di dalam dunia ini. Walaupun dosa membuang bayi tidak seberat mengguguran bayi, akan tetapi pembuangan bayi tetap membawa penderitaan kepada bayi itu sama ada bayi itu masih kecil atau masa hadapannya, maka mengikut prisip karma, pembuang bayi juga akan menerima karma yang tidak baik. Perbuatan ini akan meninggalkan kesan yang buruk kepada yang melakukannya, ianya akan mencorakkan perwatakan atau mengubahkan nasib orang tersebut sama ada dalam hayat ini atau hayat yang berikutnya. Contoh yang biasa dapat diperhatikan adalah seperti sering sakit, menghidapi penyakit aneh, berjumpa dengan perkara yang aneh. Ringkas kata, apa yang lahir semula itu bukan jiwa tetapi hasil perlakuan sesuatu makhluk atau perwatakannya pada hayat sebelumnya.

No comments:

Post a Comment